 |
|
|
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]

|
|
|
|
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]
|
| Sunday, 20-Feb-2005 00:00 |
|
[b] Bahaya Ketagih SMS. [/b]
|
|
SEORANG bapa pernah meluahkan masalahnya kepada Childalert iaitu kumpulan sokongan keibubapaan dan keselamatan kanak-kanak di luar negara, berhubung `tabiat' luar biasa anak gadisnya.
Menurut lelaki tersebut, anak perempuannya yang berusia 16 tahun pernah membelanjakan sebanyak RM140 (20 pound) seminggu termasuk belanja makan.
Rupa-rupanya, wang tersebut dibelanjakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) kepada rakan-rakannya.
Klik Read More.. untuk seterusnya.
Sebahagian besar guru di Britain, mula merungut apabila budaya sms ini telah merosakkan penggunaan tatabahasa bahasa Inggeris yang betul.
Seorang guru amat terkejut apabila salah seorang pelajar perempuan menyiapkan kerja rumahnya menggunakan `bahasa sms'. Bahasa yang menggunakan perkataan-perkataan pendek dan ringkas.
Hinggakan, gurunya langsung tidak memahami apa yang hendak disampaikan oleh pelajar tersebut.
Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din turut berkongsi pengalaman beliau sebagai seorang kaunselor.
Menurut beliau, seorang lelaki tanpa disedari, telah membelanjakan lebih RM2,000 hanya untuk menghantar sms pada salah satu program televisyen realiti yang diminatinya.
Walaupun menyedari kos menghantar sms ini sekali ganda daripada gaji bulanan, tetapi dia sanggup `berhabis' dengan mengeluarkan wang simpanannya.
Peringkat awal, lelaki terbabit tidak begitu merasai keperitan kehabisan wang. Tetapi, apabila bil telefon mencecah hingga ribuan ringgit, dia mula terasa bebannya.
``Kepada mereka yang ketagih sms ini, walaupun mindanya menyedari kesan negatif tingkah laku tersebut, namun naluri hati sering kali membisikkan kata-kata sekadar untuk menyedapkan hati.
``Hati akan menyatakan, menghabiskan wang sebanyak itu sebagai bukan satu kesalahan, kerana duit boleh dicari. Itulah yang menyebabkan individu ini meneruskan tingkah laku tersebut,'' jelas beliau.
Dalam hal ini, Mohamed Fadzil mempersoalkan kewajaran menghabiskan wang ribuan ringgit yang diusahakan bertahun-tahun. Tetapi, hanya kerana ketagihan, wang tersebut dihabiskan dengan cara yang tidak bijak.
Ketagihan sms, diertikan sebagai satu pola tingkah laku yang menzahirkan pergantungan manusia untuk cenderung menghantar sms.
Ia menggabungkan elemen mental, emosi dan tingkah laku yang berlaku sama ada seseorang itu sedar atau sebaliknya.
Walaupun individu yang ketagih ini sering berperang antara tuntutan minda dan desakan naluri, tetapi dalam banyak keadaan, naluri berjaya menguasai diri.
``Ini kerana, naluri telah wujud sejak dari awal lagi manusia itu dilahirkan. Antaranya, untuk hidup manusia mempunyai naluri untuk makan, minum, membuang air kecil, besar dan sebagainya,'' ujarnya.
Sebaliknya, faktor nilai atau mental, hanya mula `beroperasi', apabila seseorang itu berusia dua tahun ke atas.
Naluri, amat sukar dikikis kerana minda tidak begitu kuat untuk memilih atau membuat keputusan antara yang baik dan buruk.
``Dalam hal ini, minda seolah-olah hanya menjadi `pemerhati' saja terhadap desakan naluri, tetapi tidak berdaya untuk melawan,'' jelas beliau.
CNETAsia, melaporkan 57 warga Britain yang sebahagian besarnya berusia kurang 16 tahun terpaksa diberi rawatan di sebuah klinik eksklusif kerana ketagihan sms.
Kesemua pesakit ini mengalami perasaan kompulsif. Mereka akan memeriksa SMS setiap beberapa saat dan menghantar mesej baru dengan kerap.
Menurut Ketua Jabatan Ketagihan, Klinik Priory, Dr. Mark Collins, sesetengah pesakit menghabiskan masa selama tujuh jam sehari semata-mata untuk menghantar sms. Kesannya, mereka mengalami kecederaan berulang pada ibu jari akibat kerap menghantar sms.
Apa yang lebih membimbangkan, ia membahayakan kesihatan dan emosi.
Jenis tingkah laku ketagihan
* Operan
Individu terbabit cuba membayangkan perkara-perkara yang positif mengenai sesuatu yang disukainya. Ia dilakukan bagi merangsang minda untuk terus menghantar sms. Contohnya, mengundi seseorang melalui sms.
* Klasik
Ada rangsangan dan menerima gerak balas sms. Contohnya, sms yang dihantar kepada rakan-rakan.
Tingkah laku ketagihan sms ini juga ada kaitannya dengan faktor:
* Pemikiran
Sesuatu yang telah tertanam dalam fikiran. Seseorang itu cuba merasionalkan dan mencari alasan `menghalalkan' tingkah lakunya.
* Helah diri
Melarikan diri daripada masalah yang dihadapi.
Kesan ketagihan SMS
* Sanggup berbelanja banyak tanpa disedari
* Hilang tumpuan pada rutin
Jika dia seorang pelajar, maka pelajarannya akan terganggu, begitu juga jika dia seorang pekerja. Pekerja, tidak mendengar arahan daripada ketuanya.
* Kurang berkomunikasi dengan orang lain kerana perhatiannya tertumpu pada sms
* Tidur terganggu - ada yang sanggup bangun pada tengah malam apabila mendengar bunyi sms.
Dari sudut emosi individu terbabit berisiko mengalami:
Kemurungan, bimbang, cepat marah, mudah melenting atau resah gelisah - jika tidak menerima sms
Merawat ketagihan SMS
Sebelum merawat mereka yang ketagih sms ini, mereka perlu dilihat dari tiga aspek:
* Biologi
Mereka yang tergolong dalam kelompok ini, adalah paling serius. Mereka tidak boleh hidup tanpa sms dan pantang mendengar bunyi sms.
Golongan ini, sanggup berhabis-habisan, tidak makan, atau melakukan apa saja, asalkan dapat bersms. Kumpulan ini memerlukan rawatan.
Kepada mereka yang tergolong dalam kategori biologi, mereka memerlukan rawatan pakar psikiatri dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, golongan ini biasanya tidak sedar bahawa mereka ketagih.
* Psikologi
Ada kalanya, mereka sedar dan sebaliknya. Kategori ini agak mengganggu.
* Sosial
Biasanya, kelompok ini tergolong dalam mereka yang normal, kerana mereka bersms sebagai satu norma dalam masyarakat.
Ketahui kategori anda
* Cyborg
Mereka yang benar-benar ketagih. Tidak pernah menutup telefon bimbit atau berada kira-kira pada jarak tidak lebih enam kaki.
Mudah mengalami kemurungan dan keresahan jika kurang mendapat panggilan.
Menggunakan nada dering telefon paling kuat, supaya dia tidak terlepas sebarang panggilan.
* Prostetik
Ketagih, tetapi masih boleh hidup tanpanya. Boleh berubah menjadi cyborg. Menutup telefon pada waktu malam dan tidak begitu kerap menghantar sms.
* M-ager
Kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun yang dibesarkan dengan telefon bimbit sebagai simbol status.
Memiliki jenama telefon terkini, tetapi jarang membuat panggilan. Lebih gemar bermain permainan, mengambil gambar dan muat turun nada dering.
* Ketagih tetapi tidak terikat
Tahu memanfaatkan telefon tetapi jarang menggunakannya. Sering menutupnya pada waktu malam.
* Hipokrit
Kelompok baru ini memang ketagih, tetapi tidak mengakuinya. Akibatnya, 30 peratus daripada mereka terpaksa membayar bil yang tinggi.
APA ITU SMS?
Ia merupakan satu bentuk komunikasi yang murah, cepat dan menyeronokkan untuk menghantar dan menerima mesej melalui telefon bimbit.
Tulisan yang tertera pada skrin telefon bimbit ini menyamai huruf-huruf yang terdapat pada papan kekunci komputer.
SMS pertama, dihantar buat julung kalinya pada Disember, 1992. Ia dihantar daripada komputer ke telefon bimbit.
Sejak diperkenalkan sembilan tahun lalu, mesej teks ini mendapat sambutan menggalakkan. Secara tidak langsung, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan setiap daripada kita.
Hari ini, SMS dipercayai sebagai salah satu bentuk komunikasi paling dominan. Dianggarkan, kira-kira satu bilion mesej teks dihantar setiap hari di seluruh dunia.
Apa yang menarik, waktu kemuncak SMS dihantar antara pukul 10.30 hingga 11 malam
Ada banyak faktor mengapa SMS menjadi salah satu komunikasi paling popular antaranya untuk:
* Bersosial
* Tempoh membalas yang lebih fleksibel
* Penglibatan penonton
* Hiburan
* Pengiklanan
* Perniagaan
* SMS per*****a
* Melegakan kebosanan
* Membuat sebarang pembayaran.
Petikan Dari : www.Utusan.com.my
|
|
|
|