Penghulu segala hari datang lagi. Umat Islam yang lelaki akan berduyun-duyun ke masjid menunaikan solat Jumaat secara berjamaah. Ada peniaga yang mengambil kesempatan berniaga di sekitar kawasan masjid menjadikan kawasan itu umpama pasar malam.
Ada masjid yang kapasitinya tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai. Ini memaksa sebahagian jemaah terpaksa solat agak luar sedikit termasuk di kaki lima. Ada yang membawa sejadah sendiri. Bila tiba waktu solat, maka jemaah akan mula merapat. Barisan yang kosong akan dipenuhkan. Jemaah yang dibelakang akan mengisi saf kosong dihadapan. Dikala ini anda akan melihat tuan-tuan yang membawa sejadah sendiri ini tidak akan berganjak dari tempat mereka mengisi saf kerana khuatir sejadah yang ditinggalkan akan hilang atau memikirkan 'aku yang bawa sejadah orang lain pula yang sedap-sedap pakai'. Atau ada juga yang ke depan dengan membawa bersama sejadah mereka tadi. Saya teringat akan zaman remaja saya di Maghribi. Jarang saya dapat bersolat di dalam masjid kerana jemaah yang terlampau ramai. Biasanya di luar masjid itulah saya dan rakan-rakan membentang sejadah. Kalau musim sejuk, terpaksalah bersabar sedikit menahan udara yang dingin. Nak bentang sejadah pun berhati-hati takut terbentang atas tahi himar kering. Di sini apabila saf mula merapat, jemaah akan segera mengisi tempat yang kosong. Jikalau orang depan itu sejadahnya besar maka yang dibelakang akan ke depan untuk berbaris sama meninggalkan saja sejadahnya dibelakang tanpa risau dicuri. Sejadahnya itu pula akan digunakan oleh orang lain terutama mereka yang tidak membawa sejadah. Orang kita rasanya kenalah ubah pemikiran ini. Kalau hilangpun sejadah anda, anda tak akan rugi bahkan pahalalah yang menanti.
Apabila selesai solat dan bacaan doa, jemaah akan berpusu-pusu keluar untuk meneruskan kehidupan harian mereka. Kalau anda perhatikan, dikala jemaah sibuk keluar ini akan adalah insan yang bangun untuk menunaikan solat sunat. Maka solatlah mereka dengan orang sibuk lalu lalang di hadapan. Alangkah baiknya jikalau mereka ini tunggu sebentar sehingga tiada lagi orang yang sibuk melintas keluar, atau cari tempat yang mengadap dinding atau tiang untuk melakukannya. Usahlah dalam kita mengejar pahala, kita lupakan mereka yang melintas di hadapan ketika kita solat. Kita pun tahu melintas di hadapan orang yang bersolat ini berdosa, namun kalau kita pula yang nak bersolat di kala orang sedang lalu bagaimana pula halnya? Wallahu aa'lam, anda mampu mengubahnya.