Celine Dion membawa aura pada konsert di Stadium Merdeka
Quote:
Celine Dion punya banyak destinasi pilihan, namun peminat Malaysia bertuah kerana Kuala Lumpur menjadi destinasi persinggahan tunggal di Asia Tenggara dalam rangka konsert jelajahnya yang akan berakhir Januari depan.
Impian Datin Seri Siti Nurhaliza bertemu penyanyi pujaannya termakbul.
Pada satu pertemuan eksklusif yang diatur oleh kenalan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur kelmarin, Siti bagaikan tidak percaya, dia berpeluang bertentang mata dengan Celine.
“Sebaik ternampak kelibat dia (Celine), hati Siti berdebar. macam tak percaya yang Siti berada di hadapannya,” kata Siti menggambarkan perasaannya sebaik Celine melangkah ke bilik persendirian hotel berkenaan iaitu tempat dia bertemu penyanyi itu.
Sapaan Celine menarik perhatian Siti. Tanpa dibayangi imej superstar antarabangsa, Celine menyapa Siti bagaikan mereka sudah lama berkenalan.
Barangkali juga, awal-awal lagi pengurusan Celine sudah memaklumkan kepada penyanyi itu bahawa artis Malaysia yang bakal ditemuinya itu bukan calang-calang artis.
“Celine begitu ramah. Menjawab satu persatu soalan yang diajukan padanya. Bahkan, dia juga sangat mesra melayan Siti.
Biarpun kemesraan yang terjalin antara Siti dan Celine hanya sesingkat 15 minit, namun pertemuan eksklusif berkenaan seperti melengkapkan keinginan lebih sedekad Siti untuk bertentang mata dengan penghibur kelahiran Kanada itu sekurang-kurangnya.
Dan sudah tentu, peluang keemasan itu direbut oleh Siti untuk menghadiahkan Celine album terbarunya, Hadiah Daripada Hati yang ditandatanganinya.