29 Disember 2007 - Pendakian ke Gunung Irau setinggi lebih 2000 meter atas paras laut merupakan pendakian yang tidak berkesudahan bagi mereka yang pertama kali sampai di sini. Segala dugaan mengharungi laluan yang mencabar minda dan tenaga membuatkan kami hampir kehilangan tenaga dan oksigen. Hutan di sini terkenal di kalangan "backpackers" sebagai "Fairy Tale Forest" kerana terdapatnya lumut-lumut membaluti pokok dan laluannya. Begitu juga kabus yang menyelusup masuk di celah-celah pokok hutan yang menghasilkan "spectacular view" di sini.
Soalan yang biasa didengar di kalangan rakan-rakan semasa mendaki ialah "jauh lagi ker nak sampai?", atau "berapa lama lagi nak sampai ni?, biasanya disahut oleh rakan yang lain - "dah nak dekat dah", atau "20 minit lagi jerr" - dijawab oleh mereka yang sebenarnya belum pernah sampai ke sini. Rupa-rupanya 20 minit bererti lagi setengah jam pun belum tentu sampai. Sangat menghampakan jawapan dari rakan tadi. Akhirnya, kami bergerak secara berasingan, terbahagi kepada 3 kumpulan. Kumpulan pertama yang cukup stamina bergerak di hadapan tanpa berhenti lagi. Merekalah yang akan memasang khemah untuk orang-orang yang terkemudian. Kumpulan kedua adalah yang bergerak perlahan dan "take 5". Kumpulan terakhir adalah untuk mereka yang "pancit" seperti aku kerana sudah tidak terdaya, di samping rakan yang setia (walaupun mereka cukup stamina) terpaksa mengikuti jejak langkah aku mendaki perlahan-lahan dan berhenti untuk "take 5" beberapa kali.
Terdapatnya satu "puncak tipu" di pertengahan perjalanan di mana kami sangka kami sudah sampai ke puncak, rupa-rupanya ada satu puncak lagi yang bersebelahan yang merupakan puncak sebenar Gunung Irau. Pemandangan di sepanjang perjalanan membuatkan kami rasa "enjoy" biarpun dalam kepenatan. Sejam yang terakhir sebelum sampai ke puncak, kami mula tidak memperdulikan lagi pemandangan yang indah itu kerana masing-masing sudah mula .rasa letih.
Akhirnya kami sampai juga ke puncak. Aku nampak mereka sedang memasang khemah, 10 meter di hadapanku. Hatiku mula rasa gembira tak terkata. Yes,..aku sudah berada di puncak....
Saat ini adalah saat yang paling gembira sekali. Segala perjuanganku hari ini tamat di sini - sebelum satu lagi perjuangan untuk pulang pada esok pagi. Aku sudah boleh berehat dan menarik nafas yang panjang. Waktu ini, aku terduduk dan diam seketika, hanya melihat rakan-rakan menyiapkan khemah sambil melayan dengusan nafas yang masih laju...
Aku sendiri tidak menjangka akhirnya dapat sampai ke puncak setelah 10 tahun tidak pernah melakukan ekspedisi seperti ini, tambahan pula aku dah lama tidak "exercise" untuk panjat gunung. Kami sampai pada waktu senja. Pendakian yang mencengkam nafas selama hampir 4 jam yang bermula pukul 3:30 ptg dan sampai ke puncak pada pukul 7:00 ptg. Walaupun kami pertama kali sampai di sini, kami akui rintangan dan cabaran yang kami lalui sepanjang pendakian - boleh dikatakan di setiap meter jarak perjalanan, kami menempuh halangan akar-akar pokok yang besar, laluan yang licin dan berlumpur serta pendakian yang tegak mencanak ke atas.
Kami berkhemah satu malam di atas puncak gunung ini. Segala penat-lelah rasa berbaloi apabila kami dapat menyaksikan pemandangan indah di waktu pagi dari puncak gunung di mana awan dan kabus menyelubungi gunung-2 bersebelahan. Kami juga dapat melihat kawasan Blue Valley dari sini.
Segala pengalaman bersama pendaki-pendaki semasa perkhemahan tak akan mudah dilupakan. Tahniah kami ucapkan kepada para peserta yang berjaya menawan puncak Gunung Irau.
Apa yang penting adalah semangat yang nekad untuk sampai ke puncak. Jika hanya memiliki stamina, tetapi tiada kekuatan mental, anda tidak akan sampai ke atas. Bukan semua orang boleh sampai ke puncak ini jika tak cukup 2 perkara di atas. Gunung Irau bukan tempat untuk pendaki "santai". Persediaan yang secukupnya perlu dilakukan sebelum membuat keputusan utk datang ke sini. Aku menyesal tak melakukan perkara sepatutnya sebelum mendaki. Lepas ni, aku baru mula training setiap petang, naik tangga, turun tangga, lari keliling padang dan sebagainya. Suatu petang, genap sebulan selepas aku mendaki, aku memandu ke tingkat teratas lapangan letak kereta di Jusco (roof-top), aku memandang 30 darjah ke atas ke arah timur-laut - dengan jelas dapat aku melihat sebuah puncak yang berdiri gagah, jiwaku tenang dan damai. Ia mengingatkan aku kembali kepada pengalamanku sebulan yang lalu. Kerinduan aku kepada gunung mencabar kemampuanku lagi, sambil aku menyukainya. Puncak itu kelihatan seolah sedang melambai-lambai kepadaku memanggil aku ke sana - itulah puncak Gunung Korbu, puncak kedua tertinggi di Semenanjung Malaysia. Aku tahu kau ada di sana, tunggu kedatangan aku nanti......sekali aku sudah mendaki, aku akan terus mendaki lagi...
"Mountains are silent teachers and they show
the way to noble qualities:
"humility towards nature, sacrifice and willpower"
No guide
No police report
Not a drop of water on our way back!
...Alhamdulillah kami pulang dgn selamat...
InsyaAllah kami akan kembali ke sini lagi pada bulan Mac nanti. Kami akan sahut cabaran ini sekali lagi...!



Belakang dari kiri: Norman; Muzammil; Mior Ahmad; Shaifuddin; Amir: Mazlan; Shuaib.
Depan dari kiri; Sharul Azhar; Azhar a.k.a. Deth.