Projek SMART merupakan projek yang menggabungkan dua sistem iaitu sebagai sistem laluan lalulintas dan juga sebagai sistem pengurusan bagi menghindari banjir (Stormwater Management). Diantara komponen - komponen yang terlibat ialah struktur pengalihan, takungan air, terowong dan sistem pembentungan berkembar (Twin Box Culvert). Sistem ini dapat menakung jumlah kapasiti air sebanyak 3 juta meterpadu, dimana kolam takungan yang disediakan di Kampung Berembang dan Taman Desa akan digunakan sepenuhnya.
Disamping itu juga terowong ini mengandungi dua tingkat laluan lalulintas sepanjang 3 km yang mana laluan keluar/masuknya akan menghubungkan Lebuhraya KL - Seremban dengan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tun Razak. Terowong ini mengandungi 4 sistem pengudaraan dan laluan keluar kecemasan disetiap 1km sepanjang terowong. Ia juga dilenkapi oleh 'cross Passages di setiap 250 meter.
Kesemua sistem pengurusan trafik dan juga laluan air ini akan dikawal sepenuhnya oleh satu sistem yang dipanggil 'SMART System'. sistem ini berfungsi melalui tiga peringkat operasi berasaskan hubungan antara limpahan air antara pertemuan Sungai Klang/Sungai Ampang dan keadaan operasi laluan trafik. Limpahan air dan aras air sungai akan dikawal melalui stesyen hidrologi di sepanjang sungai tersebut.
Laluan aliran air limpahan akan di alirkan ke dalam laluan bawah terowong apabila ia melebihi 70 meterpadu, dimana dalam keadaan tersebut laluan trafik masih dibuka sehinggalah isipadu limpahan air melebihi 150 meterpadu. Apabila isipadu limpahan air melebihi 150 meterpadu, semua laluan trafik akan ditutup bagi membolehkan limpahan air melalui bahagian tersebut. Keadaan ini dijangka berlaku hanya satu atau dua kali setahun.
Operasi laluan trafik akan dibuka semula apabila limpahan air berkurangan kepada 70 meterpadu. Proses ini mengambil masa lebihkurang 4 hari dimana ia melibatkan kerja - kerja pembersihan terowong dan memasang kembali peralatan boleh alih untuk membuka kembali laluan trafik.