KAJANG: “Pali nak selamatkan Zurek dan Naza yang tergelincir dan lemas, bagaimanapun air berpusar menyebabkan dia ditarik ke dasar,” kata Mohd Nor Ariff Mohd Azmi, 21, menceritakan detik kejadian yang meragut nyawa rakannya di air terjun Gunung Nuang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Muhammad Fadli Che Hassan, 28, mati selepas lemas ketika cuba menyelamatkan dua rakannya.
Kejadian menyayat hati itu disaksikan beberapa rakannya yang lain, namun tidak dapat berbuat apa-apa berikutan arus deras dan mereka hanya mampu melihat mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam.
Mangsa adalah seorang daripada 18 pendaki yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Nuang yang mempunyai ketinggian 1,493 meter.
Kumpulan itu dikatakan memulakan pendakian pada pagi kelmarin dan tiba ke puncak gunung selepas empat jam pendakian dan bermalam di situ.
Bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, dua rakan mangsa dikatakan tergelincir selepas terpijak batu licin sebelum terkapai-kapai meminta tolong.
Mohd Nor Ariff berkata, mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana semua mereka tidak pandai berenang dan hanya mampu menjerit meminta tolong.
“Selepas beberapa minit menjerit meminta tolong, kemudian beberapa lelaki dari kumpulan pendaki lain tiba sebelum dua daripada mereka terjun cuba menyelamatkan Pali.
“Bagaimanapun hampir sejam menyelam, salah seorang daripada mereka menjumpai mayat Pali yang tenggelam di dasar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Difahamkan perjalanan dari kaki Gunung Nuang ke kawasan air terjun terbabit mengambil masa lebih dua jam untuk sampai ke kawasan itu.
Mangsa yang juga seorang jurugambar bebas dan tinggal di Bukit Antarabangsa, di sini adalah seorang yang aktif dan meminati aktiviti lasak.
Sejurus mangsa dinaikkan dia kemudian diberi bantuan pernafasan bagaimanapun dia gagal diselamatkan.