Pulau Manukan terletak dalam gugusan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) di Kota Kinabalu. Pulau kedua terbesar selepas Pulau Gaya ini berbentuk boomerang, antara tempat yang menarik untuk anda lawati ketika berkunjung ke Kota Kinabalu. Ia adalah antara pulau yang paling dekat dengan bandaraya KK dan anda boleh membuat lawatan sehari sahaja.
Untuk ke gugusan pulau di TTAR, anda perlu ke jeti Jesselton Point di bandaraya Kota Kinabalu. Anda boleh memilih mana-mana lima pulau yang ingin anda lawati di jeti ini. Perjalanan bot dari jeti Jesselton Point ke Pulau Manukan mengambil masa lebih kurang 20 min dengan tambang lebih kurang RM30 pergibalik. Perjalanan ke pulau-pulau dari Jesselton Point ini akan dibuat selepas mencukupi sekurang-kurangnya 8 penumpang. Jadi, anda perlu menunggu sehingga bilangan penumpang untuk ke mana-mana pulau cukup.
Pulau Manukan menyediakan kemudahan resort iaitu Manukan Island Resort yang diuruskan oleh Sutera Harbour Resort. Ia menawarkan penginapan chalet single storey dan double storey dari harga RM230 semalaman.
Pulau Manukan mempunyai persekitaran yang cantik serta airnya yang sangat jernih. Aktiviti snorkling boleh dilakukan di sini tidak berapa jauh dari kawasan jeti. Anda perlu lagi membayar tambahan RM3 untuk masuk ke pulau ini. Walaupun sebahagian besar pulau ini agak berbatu namun masih ada kawasan untuk aktiviti pantai dan juga untuk berenang. Selain itu, anda boleh melakukan aktiviti trekking melihat pemandangan alam sekitar sehingga ke kawasan puncak bukit di mana laluan trek memang siap dibina sejauh hampir 2 kilometer.